if the world ends tomorrow, would you befriend your worst enemies today?

HELL NO.

31 July 2011

Sekeping Nota dan Serumah Pengkhianatan




Hari ini saya dapat sekeping nota. Dan nota tersebut berbau kebencian.

Mulanya begini;

Saya tak pasti bila masanya dia nampak tentang nota tersebut, tapi kemudiannya, waktu saya baru keluar dari bilik air, adik panggil saya rapat ke tepi tingkap kerana dia tak mahu masuk ke dalam rumah dengan pakaian yang kotor (dia tengah cuci motor) dan bisikkan sesuatu pada telinga saya.

“Masuk bilik abah, tengok apa yang terlekat dekat cermin.” Saya tanya apa, dia kata “tengok ajalah.”
Jadi saya pun masuk. Abah tak ada, pulang ke rumah mak cik (ibu tiri saya) di Serdang, Kedah. Dua-dua tak adalah maknanya. Dan seperti yang adik katakan, ada sekeping nota yang terselit di bahagian atas cermin bilik tersebut. Lantas saya ambil dan baca.

Bunyinya lebih kurang sebegini;

“Aku bosan duduk sini, tak best langsung! Aku nak balik sana, lagi best! Tak seronok duduk sini! Hari ni balik sana, tak sabar!”

Hati saya tersentak. Saya rasa sangat terhina; terkhianat dan terhina. Dia hina rumah saya, dia hina syurga saya, hanya kerana syurga saya bukan syurga dia.

Saya cuba terima dia seadanya, sebagai isteri ayah saya, sebagai suri baru ayah saya selepas perginya mama. Saya hormati dia bila mereka tanya tentang dia, saya kata “dia sangat sayang pada abah, dia pandai jaga abah. Dia calon yang sangat baik selepas mama.”

Saya dah lama asingkan kisah dongeng dengan dunia nyata. Saya pastikan yang bukan semua ibu tiri jahat—tidak , tidak dia tidak jahat saya tahu. Tapi tidak semua ibu tiri akan jujur dengan kita.

Kami tak pernah paksa dia lakukan kerja rumah, kami tolong yang mana kami mampu. Walhal, itu semua memang rutin kami sejak mama sakit dulu. Kami yang uruskan rumah. Kami cuma fikir, ah dia boleh bantu abah bila kami pergi sambung belajar, bekerja. Ada orang untuk abah cinta, untuk jaga abah dan abah jaga selepas kami.

Saya juga kecewa bila abah langsung tak nampak usaha kami nak rapatkan hubungan. Abah asyik kata kami tak terima dia seadanya. Konon kami tak suka dia.

Mama didik kami untuk jadi orang, untuk jadi manusia. Kami tak diajar untuk benci orang tanpa sebab. Jadi kenapa? Kenapa abah yang tak dapat lihat diri kami sendiri?

Saya tahu, tak baik saya ceritakan perkara sebegini. Tapi saya sangat kecewa. Saya ingatkan dua tahun sudah cukup untuk beri dia peluang sekurang-kurangnya layan kami seperti saudara. Kami tak minta dilayan seperti anak, kami tahu batasnya—dia bukan mama. Tapi bila nota tersebut muncul, entahlah.

Rasa percaya saya pada orang pernah luntur, hingga diri saya hilang warna peribadi disebabkan pengkhianatan oleh segelintir manusia yang saya anggap penting dalam hidup saya.

Saya pernah hilang sepenuh kepercayaan pada orang lain selain diri saya dan keluarga. Saya pernah anggap teman saya hanya tempat untuk bergembira, kerana mereka juga pasti akan beranggapan yang sama terhadap saya. Saya pernah hidup dengan penuh rasa syakwasangka. Tapi kemudian, kawan-kawan sekeliling mengubah saya. Dan saya bersyukur.

Tapi sekarang, saya mula rasa terabai dengan sikap abah dan ibu tiri saya. Saya tak suka konflik, jadi saya diamkan diri. Saya anggap petunjuk-petunjuk kecil yang dia berikan sewaktu berkomunikasi dengan kami sebagai kesilapan, saya maafkan rasa sakit hati saya terhadap dia dan selalu minta dia maafkan saya atas kecuaian saya. Saya bukan malaikat.

Tapi dia tak mahu bertoleransi. Dia mahu terus jadi kanak-kanak, mahu terus percaya dengan menyakiti hati orang, dia akan bahagia. Saya rasa saya harus anggap dia tidak dewasa untuk terus melihat mukanya, atau saya akan benar-benar percaya dia bencikan saya. Saya tak mahu melawan dan buatkan abah kecewa, kerana saya sangat sayang abah.

Memang ini bukan syurganya, tapi tidak bolehkah dia menganggapnya sedemikian? Dia berkahwin dengan abah saya, itu maknanya dia berkahwin dengan seluruh keluarga. Apakah begitu susah untuk difahami?
Saya sangat kecewa, sedih, dan putus asa. Putus asa untuk terus berusaha merperbaiki hubungan kami. 

Biarlah, asalkan saya tidak menyakitkan hatinya, saya akan terus berdiam. Perkara ini tidak akan difahami oleh abah walaupun berdarah lidah saya berkata-kata. Jadi biarlah. Asalkan syurga saya masih ada bersama kenangan mama, saya rela dibenci oleh orang luar yang bertukar menjadi keluarga.

Bukan semua orang akan bencikan kita, jadi lebih baik kita sayangkan mereka yang betul-betul ikhlas sukakan kita. Itu lebih berbaloi dari buang masa sakitkan hati sendiri.

2 comments:

  1. Aku somehow pernah ada rasa yg sbnr nya kau x ngam ngn makcik kau ni. Now, I guess I', right lah kan? Sabar lah, kau dah besar :))

    ReplyDelete
  2. ngam tu memanglah tak, tapi at least aku tak pernah suka2 hati nak kata terang2 aku benci dia. aku tak benci pun. tapi kalau betul ada tak puas hati cakap, kitorang tak kisah pun. bila main nota2 gini plak aku rasa eceh, aku lagi matured dari dia haha. thanks feeqa :)

    ReplyDelete

Penulisan