FANFICTION.
kalau anda tak pernah dengar perkataan ni, tolong beritahu saya yang anda lahir pada zaman beberapa tahun selepas dinosaur pupus dari muka bumi, atau saya akan ketawa sampai mati.
fanfiction, atau penulisan fiksyen peminat; percaya atau tidak merupakan salah satu cabang yang membantu promosi satu-satu filem, animasi, artis-berkumpulan atau solo, serta buku dan komik. ia juga merupakan salah satu cara untuk mengisi masa terluang serta menambah minat golongan muda untuk membaca kerana fiksyen-fiksyen ini kadang kala dilapisi mesej-mesej yang tersembunyi.
ianya bermula dari budaya negara barat di mana hasil penulisan Lewis Caroll, penulis asal fiksyen kanak-kanak Alice In Wonderland telah berulang kali ditulis semula oleh penulis-penulis selepasnya. begitu juga dengan hasil penulisan terkenal Sir Arthur Conan Doyle yakni Sherlock Holmes yang telah diubahsuai oleh peminat-peminatnya demi kepuasan individu.
penulisan fiksyen oleh peminat ini kemudiannya dipopularkan oleh Trekkers; penggemar filem sains fiksyen Star Treks yang kemudiannya menerbitkan fanzines atau fan magazines mereka sendiri, dan memulakan penulisan fiksyen berdasarkan karakter-karakter asal dari filem tersebut namun tidak mengikut jalan cerita asli.
perkembangan internet telah memberi satu ruangan yang besar untuk digunakan sebagai modus operandi untuk fiksyen peminat ini disebarkan ke serata dunia. blog, forum, dan laman-laman atas talian percuma telah dibuka dan memberi impak yang besar kepada perubahan media untuk fiksyen peminat, dan kini ianya tidak lagi terhad kepada penulisan sains fiksyen semata-mata.
sekarang izinkan saya memberi sebab mengapa saya pilih untuk mendiskusikan tentang tajuk ini. saya akui, antara sebab mengapa saya berminat dengan artis-artis dari negara Korea Selatan, Jepun, dan filem-filem serta siri-siri tv Amerika adalah kerana saya telah jatuh cinta dengan penulisan fiksyen sebegini.
disebabkan ianya berasal dari negara bukan malaysia, jadi saya tidak pernah menaruh harapan untuk membacanya di dalam bahasa melayu, sehinggalah baru-baru ini, saya berjaya menemui beberapa blog yang dihasilkan anak malaysia untuk artis-artis luar negara yang mereka sanjung tersebut.
bagus, ianya sangat bagus kerana sekurang-kurangnya kita masih boleh mengajak anak-anak muda ini untuk menulis dan mengeksplorasi bahasa melayu semula, seandainya mereka sudah memang tidak berminat terhadap buku dan tokoh negara mereka sendiri. kita memang perlu mengikut arus modenisasi. saya juga tidak menaruh harapan dan tidak berminat langsung untuk membaca fiksyen yang menggunakan artis-artis melayu--bukannya kerana membenci atau sebagainya, tetapi sebagai rasa hormat terhadap bangsa sendiri kerana kadang-kadang, penulisan sebegini melibatkan aksi-aksi yang akan terus di'censored' di kaca tv malaysia.
kita ada sensitiviti, okay?
namun, disebalik kebaikan penulisan fiksyen dalam bahasa melayu ini, ada sesuatu yang buat saya rasa kurang senang. mungkin ianya kerana mereka memikirkan bahawa ianya sekadar hobi, maka mereka--penulis-penulis bebas ni tak menggunakan bahasa melayu yang betul terhadap penulisan mereka, dan meninggalkan rasa tidak senang hati terhadap yang membacanya.
untuk pengetahuan anda, bukan malaysia sahaja yang meggunakan bahasa melayu, ya? brunei, indonesia, kadang-kadang melayu dari singapura turut membaca penulisan ini. bukan niat nak membanding-bandingkan dengan penulisan fiksyen inggeris, ataupun dengan penulisan profesional;
tapi senang cakaplah, kita belajar bahasa melayu/malaysia sejak darjah satu hingga tamat tingkatan lima. mana pergi ilmu kita dapat tu?
kalau penulisan fiksyen dalam bahasa inggeris boleh menggunakan grammar yang betul dan teratur, kenapa tidak dengan tatabahasa bahasa melayu? kecewa saya bila membaca fiksyen bahasa melayu yang berterabur aturan tatabahasanya, malah tidak menggunakan tajuk bahasa melayu!
kita cuba mengadaptasi budaya untuk survival. untuk terus hidup atau wujud. tapi tidak bermakna kita boleh endah tak endah dengan syarat yang ada. tolong betulkan bahasa anda sebelum cuba nak mencipta sesuatu yang memerlukannya sebagai asas.
SAYA BENCI ORANG YANG MEMPORAK-PERANDAKAN BAHASA IBUNDA SAYA. SAYA MASIH MELAYU; WALAU SELUAS MANA PUN MINDA SAYA TERBUKA.